Parlimen Malaysia, 10hb Disember 2009
—KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA—

Kami menyambut baik usaha PETRONAS yang mengumumkan prestasi separuh tahun bagi tahun kewangan yang akan berakhir pada 31hb Mac 2010. Tatkala kami hargai sumbangan PETRONAS untuk meningkatkan pendapatan Negara, berjumlah 48.6% dari jumlah keseluruhan pendapatan, kami juga merasa bimbang dengan merudumnya keuntungan syarikat tersebut kerana ianya bersangkutan langsung dengan kedudukan ekonomi Negara.

Pendapatan PETRONAS berdasarkan laporan yang dikeluarkan, mencatatkan kejatuhan berjumlah RM 59 billion, bermakna cukai yang sepatutnya diperolehi oleh Negara berkurangan sekitar 57%. Sepanjang 5 tahun ini, PETRONAS adalah entiti yang memberi sumbangan terbesar kepada pendapatan Negara. Untuk tahun kewangan 2008 sahaja, sumbangan PETRONAS merupakan 44.9% dari pendapatan Negara. Kebergantungan terhadap PETRONAS ini mengaburi kita dari kedudukan sebenar ekonomi akibat dari dasar kerajaan yang terus menerus bergantung kepada syarikat tersebut untuk menampung kegagalan mereka untuk memulihkan kewangan Negara semenjak terkesan dari krisis kewangan Asia 1997/1998.

Sepanjang 5 tahun ini, penggunaan sumber dan dana dari PETRONAS oleh kerajaan telah membengkak sekitar 21% setiap tahun. Ini bermakna setiap tahun, peratusan penggunaan sumber PETRONAS oleh kerajaan bertambah sebanyak 21% dari apa yang digunakan pada tahun sebelumnya. Ini juga bermaksud sepanjang 5 tahun ini, wang yang disedut oleh kerajaan telah meningkat lebih dari dua kali ganda. Misalnya pada tahun 2005, petronas menyumbang sebanyak RM31.2 billion dari jumlah keseluruhan belanjawan Negara. Namun pada tahun 2008, jumlah wang PETRONAS yang membentuk belanjawan Negara adalah sebanyak RM 74 billion-peningkatan sebanyak 130% sepanjang 5 tahun ini.

ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
DEWAN RAKYAT

Baca lanjut di sini

0 comments