Kenyataan Media YB Nurul Izzah

Posted by Srikandi Keadilan | 6:23 PM | 0 comments »



KENYATAAN MEDIA

UNTUK EDARAN SEGERA


Tarikh: 12 Mac 2010


Tangani Segera Isu Perkahwinan Dengan Kanak-kanak Perempuan Di Bawah Umur


Baru-baru ini negara digemparkan oleh berita perkahwinan seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun dengan seorang lelaki berumur 40 tahun di Kampung Jelawang, Kelantan. Yang lebih memeranjatkan adalah kenyataan Hakim Shariah di Kelantan hari ini yang menyatakan bahawa kejadian tersebut sah di bawah Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan selagi alasan yang munasabah diberikan dan diterima oleh Mahkamah.


Pertama, saya menyokong saranan Datuk Sharizat Jalil agar siasatan segera diadakan dalam kes ini. Tetapi tidak memadai dengan siasatan sahaja, tindak balas diwajibkan jikalau terbukti satu kesalahan telah dilakukan. Pihak kementerian –Wanita, Pembangunan dan Masyarakat dan juga Dalam Negeri beserta Polis DiRaja Malaysia juga wajib bekerjasama dengan erat dalam membantu menghentikan kes-kes pencabulan lain yang melibatkan kanak-kanak perempuan seperti kes sumbang mahram atau rogol daripada terus berlaku.


Sungguhpun faktor kematangan merupakan salah satu faktor yang membenarkan perkahwinan dengan kanak-kanak perempuan, namun kepentingan terbaik seorang kanak-kanak bukanlah untuk menjadi seorang isteri atau ibu tetapi untuk menerima pendidikan serta menikmati dan memenuhi hak dan keperluan sebagai seorang kanak-kanak kerana pada tahap itu, perkembangan kanak-kanak adalah pada tahap yang amat kritikal.


Kedua, selaras dengan semangat dan kandungan Konvensyen Hak Kanak-Kanak yang diratifikasi oleh Malaysia pada tahun 1995, saya ingin menyeru agar Undang-undang yang membenarkan perkahwinan anak gadis bawah 16 tahun dikaji semula agar selaras dengan kepentingan dan kebajikan kanak-kanak.


Tambahan lagi, perkahwinan sebegini bercanggah dengan peruntukan undang-undang di bawah Kanun Keseksaaan berhubung rogol statutori.


Justeru, kejutan sebegini perlu diambil serius dan menggesa kita bertindak cepat untuk memastikan kanak-kanak mendapat perlindungan sepatutnya.


Nurul Izzah Anwar

Ahli Parlimen Lembah Pantai


0 comments